Friday

Benarkah Melabur Di Pasaran Saham Perlukan Modal Besar?

Berapa modal minimum yang diperlukan kalau saya melabur dalam pasaran saham?

Soalan tersebut selalu ditanyakan kepada mereka yang ingin melabur di pasaran saham atau mereka yang hanya sekadar mahu tahu akan perkara tersebut.

Bagaimanapun secara umumnya, masih  ramai yang beranggapan bahawa untuk melabur di pasaran saham, ia mesti memerlukan modal yang besar. Jika tidak beratus ribu ringgit, setidak-tidaknya memerlukan puluhan ribu ringgit.

Tanggapan  tersebut membuatkan ramai yang enggan melabur saham atas alasan tidak mampu atau modal yang tidak mencukupi. 

Pada hakikatnya untuk melabur di pasaran saham ia tidak semestinya memerlukan modal yang besar. Tiada juga jumlah modal minimum ditetapkan oleh mana-mana syarikat broker saham atau bank pelaburan. Segala-galanya adalah bergantung kepada kesanggupan pelabur itu sendiri dan toleransinya terhadap risiko pelaburan.

Ditambah pula dengan bilangan saham-saham yang berharga murah (antara satu sen hingga ke seringgit) masih boleh didapati dengan banyaknya di pasaran, maka pelaburan boleh dimulakan dengan modal yang kecil.

Jumlah yang kecil juga sesuai bagi mereka yang baru berjinak dengan pasaran saham dengan membeli saham-saham murah tetapi berasas kukuh dan mempunyai potensi untuk meningkat.

Mulakan dengan jumlah yang anda mampu serta mengambil kira ilmu yang ada dan tahap kesanggupan  terhadap risiko pelaburan.

Dengan kata lain kalau anda tidak sanggup mendedah jumlah kewangan yang besar terhadap risiko pelaburan, maka mulakanlah dengan jumlah kewangan yang kecil atau jumlah yang anda sanggup.

- Sabri Jalil