Friday

Tiga Pelabur Talam, Tetapi Bukan Tiga Abdul


Pelabur A membeli saham Talam dengan  harga 11 sen pada 5 November 2009.
Pelabur B membeli dengan harga 9.5 sen pada 17 Disember 2009.
Pelabur  C pula membeli dengan harga 13.5 sen pada 13 April 2010.

Harga kini Talam ialah 15.5, iaitu setakat 23 April 2010

Berapakah nilai pelaburan mereka sekarang?

Pelabur A : Dalam masa kira-kira 6 bulan keuntungannya ialah 37%
Pelabur B : Dalam masa 4 setengah bulan keuntungannya ialah 58%
Pelabur C : Hanya membeli 10 hari yang lalu dan keuntungannya ialah 12%

Ketiga-tiga pelabur tersebut masih memegang saham berkenaan.

Dengan peratus keuntungan tersebut berbanding dengan tempoh masa, bukankah itu pulangan yang baik?

- Sabri Jalil

Monday

Nak Beli Saham, Mana Satu Yang Betul?

“Ada yang kata beli saham bila harga tengah naik, ada yang kata beli bila harga turun. Mana satu yang betul ni?”

Itulah pertanyaan dari salah seorang yang baru kenal dalam satu majlis. Beliau memang berhajat mahu melabur dalam pasaran saham tetapi soalan yang bermain dikepalanya selama ini membuatkan beliau menagguhkan niatnya.

Soalan beliau itu amat bagus dan biarlah penerangannya kita kongsi dalam blog ini.

Samada anda membeli ketika harga tengah menaik atau ketika turun, ia bergantung kepada siapakah diri anda.



Adakah anda mahukan keuntungan lebih cepat tetapi perlu menghadapi risiko yang lebih tinggi?

Jika ya maka anda boleh membeli ketika harga sedang meningkat dan menjual ketika harga lebih tinggi. Ia dipanggil sebagai strategi momentum. Anda perlu mempunyai displin yang tinggi jika ingin mengamalkan strategi ini. Sikap tamak perlu dijauhi.

Adakah anda seorang yang sabar dengan tidak mengharapkan keuntungan yang sangat cepat tetapi kurang berisiko?

Jika ya, maka anda perlu membeli saham ketika harga jatuh dan menjualnya ketika harga sedang meningkat. Strategi ini dipanggil sebagai kontrarian. Kontrarian bermaksud bertentangan iaitu membeli ketika ramai pelabur menjualnya (yang menyebabkan kejatuhan harga) dan menjual ketika ramai pelabur membeli (yang membuatkan harga meningkat). Strategi ini mempunyai risiko yang lebih rendah (tetapi tidak bermakna tiada risiko) dan ia diamalkan oleh pelabur terkemuka dunia iaitu Warren Buffet dan John Templeton.

Untuk makluman John Templeton telah membeli saham-saham tujuh syarikat penerbangan Amerika Syarikat yang jatuh menjunam semasa peristiwa September 11 dan meraih keuntungan berbilion dollar seminggu selepas itu akibat harganya meningkat mendadak selepas kerajaan AS mengumumkan subsidi kepada 7 syarikat penerbangan tersebut.

Dengan kata lain, kenali diri anda dan tetapkan objektif anda agar anda mengamalkan strategi yang bersuaian.

Sabri Jalil.

Wednesday

Belum Bayar Tapi Boleh Jual Ke?

Bolehkah saya menjual saham yang telah saya beli sedangkan saya belum membuat bayaran kerana tempoh bayaran belum tiba?

Soalan di atas telah diajukan  oleh seorang pelabur kepada saya.

Apabila anda membeli saham, tempoh bayaran ialah 3 hari selepas tarikh pembelian. Tarikh tersebut dipanggil sebagai T+3. Kaedah pembayaran ialah samada melalui kaunter pembayaran syarikat broker saham atau melalui bank iaitu cek/tunai dikaunter atau pindahan ATM.

Bagi pelabur yang mempunyai trust account dengan syarikat broker saham pembayaran dibuat hanya dengan mendebitkan dari akaun tersebut.

Apabila saham dijual sebelum pembayaran untuk pembelian itu dibuat, jualan tersebut dipanggil sebagai dagangan kontra.

Jika harga jualan tersebut lebih tinggi daripada harga belian maka anda akan mendapat keuntungan dan untung tersebut dikenali sebagai untung kontra.  

Sebaliknya jika anda bertindak menjualnya dalam tempoh tersebut dengan harga yang lebih rendah daripada harga belian, maka anda akan mengalami kerugian dan ia dipanggil sebagai kerugian kontra.

Kesimpulannya, tiada masalah bagi pelabur untuk menjual sahamnya walau belum membuat pembayaran ke atas saham yang dibeli sebelumnya.

- Sabri Jalil

Monday

Berapa Modal Minimum?


Ramai dikalangan para sahabat menunjukkkan minat dan keinginan untuk melabur di pasaran saham. Soalan yang selalu dikemukakan ialah berapakah modal minimum untuk membolehkan mereka melabur di pasaran saham?

Mereka terkejut bila saya mengatakan tiada modal minimum ditetapkan. Selama ini mereka menyangkakan untuk melabur di pasaran saham mesti mempunyai jumlah wang yang besar, tetapi pada hakikatnya tidak.

Jumlah tersebut sebenarnya bergantung kepada apa saham yang hendak dibeli dan berapa pula harganya.  

Di pasaran saham ada saham berharga murah dan ada yang berharga mahal.

Sebagai contoh Scomi berharga RM0.51 sesaham, maka jika anda ingin membeli 10,000 unit maka  anda perlu membayar RM5,100.00 (tidak termasuk komisen, duti stem dan yuran penjelasan)

Sebaliknya jika anda ingin membeli saham Digi, katakan walaupun hanya 1000 unit maka anda perlu membayar sebanyak RM22,520.00 kerana ia berharga RM22.52 seunit.   

Dengan penerangan di atas, maka dapat disimpulkan bahawa jumlah minimum pelaburan ialah bergantung kepada apa dan berapa harga saham yang ingin dibeli dan juga bergantung jumlah terendah yang sanggup kita peruntukan daripada wang yang kita ada untuk pelaburan di pasaran saham.

Bagaimanapun sebagai pendatang baru, anda tidak perlu memulakan dengan jumlah yang besar.Anda boleh memulakan jumlah mengikut kesanggupan anda dan tidak semesti dengan jumlah yang besar sebagaimana yang dibayangkan selama ini.

Disini anda boleh mendapatkan pandangan dari remisier anda. 

- Sabri Jalil