Wednesday

Menilai Kursus, Jangan Dengan Cara Yang Salah

Pertama kali saya menganjurkan Kursus Analisa Teknikal – Teknik Pattern/Breakout ialah pada 14hb Februari 2014 di Pusat Belia Antarabangsa yang dihadiri oleh 45 orang peserta.
Saya berkata secara bergurau semasa menyampaikan modul kepada mereka “Saya tidak perlu mempamerkan kemewahan saya untuk membuktikan kebenaran teknik ini. Cukuplah sekadar mengikuti analisis saya dalam Facebook untuk mengetahuinya”.
Saya harap sebahagian alumni yang hadir ada di dalam grup dan masih ingat kata-kata saya itu.
Hari ini 20hb Jan 2016, saya terbaca dalam Harian Metro bertarikh 19hb Jan 2016 dilaporkan beberapa individu telah tertipu berpuluh ribu ringgit seorang kerana menyertai kursus pelaburan forex. Yuran penyertaan ialah RM50,000 seorang. Malah ada yang lebih mahal bergantung kepada modul.
Antara teknik yang gunakan oleh penganjur untuk menggoda dan menarik penyertaan ialah dengan mempamerkan kemewahannya iaitu menunjukkan kereta mewahnya dan jumlah wang dalam bank. Ramai peserta terpesona lalu menyertainya dengan mengorbankan RM50,000. Begitu mahal yurannya…
Para alumni, harap beritahu kepada diri anda dan rakan-rakan anda untuk menilai sesuatu kursus jangan melihat kepada kemewahan penganjur atau speakernya, tidak kira samada kursus pelaburan saham, forex, emas, fcpo dan lain-lain.
Nilailah pada hasil kajiannya. Kemewahan boleh disangkal kerana kekayaan mungkin datang dari sumber lain. Tetapi hasil kajian tidak boleh disangkal.
Saya galakkan menyertai mana-mana kursus tetapi jangan sampai menjadi mangsa penipuan.