Wednesday

Krisis Timur Tengah, Inikah Masanya Membeli Saham?


Pemimpin Libya, Muammaf Gaddafi


Pasaran saham di seluruh dunia menurun sejak beberapa minggu yang lalu berpunca daripada ketegangan di  Timur Tengah. Krisis terbaru ialah di Libya yang mencetuskan perang saudara dan ini melemahkan lagi sentimen pasaran saham termasuk Malaysia. 

Kebimbangan berlaku kerana ada pendapat menyatakan bahawa krisis akan berterusan ditambah lagi dengan tindakan kerajaan Amerika Syarikat yang mahu campur tangan dengan menghantar kapal perang tentera marinnya ke perairan berhampiran Libya.

Kebanyakan pelabur, terutamanya pelabur jangkapendek mengambil tindakan menjual pegangan akibat dari suasana panik dan ketegangan politik ini. Tindakan para pelabur ini mencetuskan tekanan jualan dan melemahkan sentimen pasaran. Sebarang kenaikan hanya dilihat sebagai sementara kerana kekurangan sokongan belian.

Disebalik sebahagian pelabur bertindak menjual saham-saham mereka, ada pula sebahagian pelabur mengambil kesempatan membeli saham-saham kerana harganya yang lebih rendah. Persoalannya bijakkah tindakan pelabur membeli saham ketika harganya jatuh?

Teringat saya pada pesanan pelabur tersohor dunia, Warrent Buffet, yang berbunyi "dalam krisis ada peluang". Mengambil kesempatan membeli ketika pasaran sedang panik dan menjual ketika keyakinan pelabur kembali semula. Inilah strategi yang berkesan bagi seorang pelabur tulin seperti Warren Buffet.

Sesungguhnya krisis akan melemahkan harga-harga saham dan ini adalah peluang terbaik untuk  membeli saham-saham yang berasas kukuh dengan harga yang lebih murah. Jika diamati  dari pengalaman-pengalaman yang lalu setiap krisis hanya memberi kesan sementara kepada pasaran saham. 

Pasaran akan meningkat semula apabila pelabur mendapati kirisis tidak membawa sebarang kesan serius keatas sesuatu ekonomi yang tidak terlibat dalam krisis seperti Malaysia. Sebagai contoh Perang Teluk II telah menjatuhkan saham seluruh dunia dengan teruk tetapi pulih semula beberapa minggu kemudian.

Seorang lagi pelabur terkemuka bertaraf billionair iaitu John Templeton yang berasal  Britain menggunakan strategi yang sama. Beliau bertindak membeli saham-saham tujuh syarikat penerbangan yang jatuh merudum di pasaran saham New York akibat daripada peristiwa "September 11". 

John Templeton berjaya meraih keuntungan berbillion dollar beberapa minggu selepas itu kerana kenaikan semula harga saham syarikat-syarikat penerbangan tersebut apabila kerajaan Amerika mengumumkan bantuan kewangan kepada syarikat-syarikat penerbangan tersebut. 

Pengajaran  kita dari dua  orang pelabur terkemuka tersebut ialah bagaimana menilai sesuatu krisis yang berlaku dan sejauhmana ia akan mempengaruhi prestasi pasaran saham. Setiap krisis yang berlaku adalah bersifat sementara. Suasana panik di pasaran juga adalah fenomena sementara. Maka itu kejatuhan harga-harga saham akibat suasana panik ekoran  sesuatu krisis adalah bersifat sementara juga. Apatah lagi krisis yang berlaku itu bukanlah krisis ekonomi tetapi lebih kepada ketegangan politik. 

Bagi pelabur jangka pertengahan dan panjang, adalah satu perkara yang bijak membeli saham-saham berkualiti atau berasas kukuh ketika harga turut jatuh hasil akibat daripada krisis ini. Saham berkualiti yg mempunnyai kedudukan kewangan yang kukuh dan potensi yang baik pasti akan meningkat semula apabila keadaaan reda. 

Daripada sejarah pasaran saham, suasana kejatuhan kerana sesuatu peristiwa seperti selsema burung, tunjuk perasaan di medan Tiananmen, krisis Korea Selatan-Utara, peristiwa September 11 dan lain-lain hanya memberi kejutan sementara pada pasaran. 

Maka itu membeli ketika suasana krisis bersifat sementara ini adalah lebih kurang berisiko dan mempunyai peluang yang lebih baik untuk menjana keuntungan. Peluang ini biasanya diambil kesempatan oleh pelabur "contrarian". 

Bagaimanapun anda dinasihatkan hanya membeli saham-saham berasas kukuh dan saham berasas kukuh tidak semestinya yang berharga mahal.

Saya pasti krisis Timur Tengah juga bersifat sementara, maka inilah masanya untuk membeli  jika anda pelabur jangka panjang.  Bagi pelabur kontra atau jangka pendek,  jauhi pasaran buat sementara waktu.

- Sabri Jalil